Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato' Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan turut dihadiri Dekan SEFB, Prof. Dr. Yusnidah Ibrahim.
Yang Berbahagia Naib Canselor berkata, usaha SEFB ini adalah bertepatan dalam membantu dan membincangkan kandungan bajet 2015 yang dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Jumaat lalu dengan tujuan ia dapat difahami secara rasional dan kesannya kepada ekonomi dan masyarakat secara keseluruhan.
"Pada dasarnya, bajet Negara adalah seumpama proses tadbir urus belanjawan individu yang mana sekiranya ia ditadbir secara berhemah, maka wujud imbangan hasil dan perbelanjaan yang cekap dan mampan."
"Pembentangan Bajet 2015 melalui pendekatan Bajet Berasaskan Hasil (Outcome-Based Budgets) memberikan gambaran holistik mengenai keperluan pembangunan modal insan serta tadbir urus perbelanjaan pembangunan dan mengurus yang lebih menyeluruh," katanya.
Ujar beliau, berikutan tahun hadapan merupakan tahun terakhir pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10, Bajet 2015 itu dilihat akan terus komited dengan pelbagai agenda pembangunan yang berteraskan lima tonggak Strategik Nasional.
Katanya lagi, adalah menjadi harapan agar usaha mengadakan perbincangan ilmuan seperti itu adapat diteruskan supaya pihak akademik dan industri serta badan bukan kerajaan (NGO) saling bertukar pandangan dan idea bernas.
Pada sidang media yang diadakan juga, Naib Canselor telah menyentuh mengenai beberapa intipati Bajet 2015, antaranya adalah kemasukan pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di mana tahap minimum Band Malaysian University English Test (MUET) ditingkatkan mengikut bidang pengajian dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Seramai empat panel merungkai dan membincangkan intipati Bajet 2015 bersama 70 peserta terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri iaitu Ketua Kluster Pengurusan dan Ekonomi, Majlis Profesor Negara (MPN) merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato' Dr. Noor Azlan Ghazali; Profesor SEFB, Prof. Dato' Dr. Amir Hussin Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Perakaunan UUM, Prof. Dr. Kamil Md Idris dan wakil Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia (REHDA).
Sementara itu, Dekan SEFB, Prof. Dr. Yusnidah berkata, program tersebut merupakan salah satu aktiviti anjuran ECOFI bertujuan membincangkan kandungan bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri baru-baru ini.
Menurutnya, perbincangan ini adalah bagi mencapai perkara yang digariskan dalam strategi utama Bajet 2015 yang mana ia memerlukan sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan juga rakyat.
===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)

No comments:
Post a Comment