
UUM ONLINE: Alor Setar, 13 Oktober - Bertepatan
dengan usaha bersama dalam membantu kerajaan memahami maksud dan tujuan
keputusan diambil dalam pembentangan Bajet 2015, Economic and Financial
Policy Institute ((ECOFI) Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan
Perbankan (SEFB) Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan 'Post Budget
2015' di Hotel TH dan Pusat Konvensyen, pagi tadi.
Majlis tersebut telah dirasmikan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dato'
Wira Dr. Mohamed Mustafa Ishak dan turut dihadiri Dekan SEFB, Prof. Dr.
Yusnidah Ibrahim.
Yang Berbahagia Naib Canselor berkata, usaha SEFB ini adalah
bertepatan dalam membantu dan membincangkan kandungan bajet 2015 yang
dibentangkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri pada Jumaat lalu
dengan tujuan ia dapat difahami secara rasional dan kesannya kepada
ekonomi dan masyarakat secara keseluruhan.
"Pada dasarnya, bajet Negara adalah seumpama proses tadbir urus
belanjawan individu yang mana sekiranya ia ditadbir secara berhemah,
maka wujud imbangan hasil dan perbelanjaan yang cekap dan mampan."
"Pembentangan Bajet 2015 melalui pendekatan Bajet Berasaskan Hasil
(Outcome-Based Budgets) memberikan gambaran holistik mengenai keperluan
pembangunan modal insan serta tadbir urus perbelanjaan pembangunan dan
mengurus yang lebih menyeluruh," katanya.
Ujar beliau, berikutan tahun hadapan merupakan tahun terakhir
pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-10, Bajet 2015 itu dilihat akan terus
komited dengan pelbagai agenda pembangunan yang berteraskan lima tonggak
Strategik Nasional.
Katanya lagi, adalah menjadi harapan agar usaha mengadakan
perbincangan ilmuan seperti itu adapat diteruskan supaya pihak akademik
dan industri serta badan bukan kerajaan (NGO) saling bertukar pandangan
dan idea bernas.
Pada sidang media yang diadakan juga, Naib Canselor telah menyentuh
mengenai beberapa intipati Bajet 2015, antaranya adalah kemasukan
pelajar ke Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di mana tahap minimum
Band Malaysian University English Test (MUET) ditingkatkan mengikut
bidang pengajian dan pelaksanaan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Seramai empat panel merungkai dan membincangkan intipati Bajet 2015
bersama 70 peserta terdiri daripada ahli akademik dan pengamal industri
iaitu Ketua Kluster Pengurusan dan Ekonomi, Majlis Profesor Negara (MPN)
merangkap Naib Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia, Prof. Dato' Dr.
Noor Azlan Ghazali; Profesor SEFB, Prof. Dato' Dr. Amir Hussin
Baharuddin; Dekan Pusat Pengajian Perakaunan UUM, Prof. Dr. Kamil Md
Idris dan wakil Persatuan Pemaju Hartanah Dan Perumahan Malaysia
(REHDA).
Sementara itu, Dekan SEFB, Prof. Dr. Yusnidah berkata, program
tersebut merupakan salah satu aktiviti anjuran ECOFI bertujuan
membincangkan kandungan bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri
baru-baru ini.
Menurutnya, perbincangan ini adalah bagi mencapai perkara yang
digariskan dalam strategi utama Bajet 2015 yang mana ia memerlukan
sokongan dan kerjasama semua pihak termasuk kerajaan dan juga rakyat.
===============================
DARIPADA:
UNIT KOMUNIKASI KORPORAT
UNIVERSITI UTARA MALAYSIA
TEL.: 04-928 3048/3049/3042/3040
FAKS: 04-928 3053
E-MEL: ukkuum@uum.edu.my
FACEBOOK: Universiti Utara Malaysia (Official FB)